Pages2

Tuesday, July 5, 2011

UTeM OFFERS 10 NEW COURSES IN ENGINEERING TECHNOLOGY – AN EFFORT IN PRODUCING MORE TECHNOLOGISTS FOR THE NATION

UTeM TAWAR 10 KURSUS TEKNOLOGI KEJURUTERAAN – SAHUT SARANAN KERAJAAN LAHIRKAN LEBIH RAMAI JURUTERA TEKNOLOGI DALAM NEGARA

Peranan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) semakin menyerlah apabila berjaya menawarkan 10 kursus baru dalam bidang teknologi Kejuruteraan yang akan memulakan pengambilan pelajar barunya pada bulan September tahun ini.

Mengulas lanjut Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Ahmad Yusoff Hassan berkata, 10 kursus teknologi kejuruteraan ini merupakan antara perkara utama yang telah disarankan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai lagi tenaga mahir profesional dan pakar dalam bidang teknologi kejuruteraan menjelang tahun 2015.

Lantaran itu kursus teknologi kejuruteraan ini merupakan program yang sememangnya mendapat perhatian utama pihak industri dan majikan Malaysia kerana graduan dalam bidang ini dilengkapkan dengan kemahiran dan kepakaran serta kompeten dalam melaksanakan tugas selaku jurutera teknologi.

Tambah beliau lagi, bagi memenuhi matlamat ini pihak UTeM telah membentuk konsep pengajian teknologi kejuruteraan ini bertepatan dengan keperluan dan saranan daripada pihak industri iaitu konsep pengajian secara praktikal atau 'Hands On'.

10 kursus teknologi kejuruteraan ini merangkumi kursus Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan dengan kepujian pengkhususan dalam Kuasa Industri, Automasi Industri & Robotik. Seterusnya Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal pengkhususan dalam Sistem Penyejukan & Penyaman Udara serta pengkhususan dalam Teknologi Penyelenggaraan.

Bagi Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan pula menawarkan pengkhususan dalam Proses dan Teknologi serta Rekabentuk Produk. Seterusnya Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik pengkhususan Telekomunikasi dan akhir sekali Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Komputer dengan pengkhususan Sistem Komputer.

Pengambilan pelajar bagi mengikuti kursus teknologi kejuruteraan ini terbuka untuk semua pelajar lepasan Matrikulasi, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), diploma dari semua IPT dalam negara serta peluang ini juga terbuka kepada para lepasan diploma bidang teknikal dari semua institusi teknikal dalam negara kita.

Lanjutan itu Ahmad Yusoff berkata, pihak UTeM sememangnya sudah bersedia dalam semua aspek dan perkara bagi melaksanakan program baru ini secara konsisten dan bersepadu.
UTeM memiliki ramai tenaga pengajar yang pakar dan berpengalaman luas dalam bidang teknologi kejuruteraan ini yang terdiri daripada golongan Pensyarah dan Jurutera Pengajar yang memiliki pengetahuan, kepakaran, pengalaman dan pendedahan luas dalam bidang teknologi kejuruteraan ini.

Tambahan itu dari sudut fasiliti pula UTeM telah dilengkapi dengan makmal canggih dan berteknologi tinggi yang mana sebahagiannya disumbangkan oleh pihak industri dari dalam dan luar negara.

Makmal canggih dan berteknologi tinggi yang terdapat di UTeM ini memenuhi keperluan dan berpadanan dengan kehendak semasa industri. Sekaligus keadaan ini memberi pakej lengkap buat UTeM dalam melahirkan graduan yang sememangnya bertepatan dengan permintaan semasa daripada pihak industri.



--
sulaiman sabikan

1 comment: