Pages2

Wednesday, July 18, 2012

Majlis Perasmian Hari Terbuka Cadangan Penubuhan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT)


_DSC6300
KUALA LUMPUR (21 Mac 2012) – YB Datuk Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada hari ini telah menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Terbuka Cadangan Penubuhan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
Dalam ucapannya, YB Timbalan Menteri memaklumkan tujuan diadakan hari terbuka ini adalah untuk mendapatkan maklumbalas sama ada pandangan, cadangan mahupun kritikan daripada stakeholders dan orang awam mengenai cadangan penubuhan MBOT. Di samping itu, hari terbuka ini juga bertujuan untuk memberi peluang kepada Kementerian sebagai penganjur untuk memberi penerangan serta penjelasan terhadap hasrat dan cadangan murni bagi penubuhan MBOT.

Cadangan penubuhan MBOT adalah sebagai mengiktiraf dan memperkasa teknologis dan juruteknik sebagai satu profesion ikhtisas di Malaysia. Penubuhan MBOT akan dilaksanakan melalui penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Teknologis dan Juruteknik 2012 yang akan memberi kuasa kepada MBOT bagi pendaftaran dan pengiktirafan teknologis dan juruteknik serta bagi maksud yang berkaitan dengannya.

“MOSTI bersama rakan kementerian berkaitan sedang menggubal satu Rang Undang-Undang Teknologis dan Juruteknik 2012 khusus bagi penubuhan dan pelaksanaan MBOT. MBOT akan ditubuhkan sebagai sebuah badan ikhtisas di bawah akta yang dicadangkan. Penubuhannya sebagai satu badan ikhtisas adalah selaras dengan badan profesional lain di Malaysia seperti Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), Lembaga Arkitek Malaysia (BOA) dan Lembaga Jurukur Malaysia (BQSM)” kata YB Timbalan Menteri lagi.

YB Timbalan Menteri melalui ucapannya turut percaya melalui penubuhan MBOT, bilangan tenaga kerja teknikal, teknologi dan mahir di Malaysia akan dapat dipertingkatkan. Ini sekaligus akan meningkatkan jumlah tenaga kerja tersebut yang diperlukan oleh negara bagi mencapai taraf ekonomi berpendapatan tinggi. Justeru, penubuhan MBOT yang mampu menambah bilangan teknologis dan juruteknik yang dihasilkan di negara ini adalah penting dan signifikan dalam menjayakan misi nasional.

Dari segi fungsinya, MBOT akan bertanggungjawab untuk mendaftarkan teknologis graduan (graduate technologist) dan juruteknik berkelayakan (qualified technician) serta memberi pengiktirafan kepada teknologis profesional (profesional technologist) dan juruteknik bertauliah (certified technician). MBOT juga akan mengawal selia etika serta profesionalisme teknologis dan juruteknik yang berdaftar. Selain itu, MBOT akan mempromosikan pendidikan dan latihan profesional dalam bidang berkaitan.

Melalui penubuhan MBOT juga, YB Timbalan Menteri percaya lebih banyak institusi pendidikan akan menawarkan program berbentuk teknologi dan teknikal.

Hari Terbuka MBOT turut dijayakan dengan usahasama Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian, Pengajian Tinggi Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia.

Selepas upacara perasmian, sesi soal jawab di antara tetamu yang hadir bersama ahli-ahli panel turut diadakan. Ahli-ahli panel yang terlibat ialah Encik Kamel bin Mohamad (Setiausaha Bahagian Kanan Perancangan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi), Dr. Pang Chau Leong (Ketua Pengarah, Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia), Dr. Abdul Rahman Ayub (Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Kementerian Pelajaran Malaysia), Encik Sakib Kusmi (Timbalan Pengarah, Bahagian Pembangunan Modal Insan, Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri), Prof. Dr. Zarida Hambali (Pengarah, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia), Mejar (K) Haji Md. Nor Yusof (Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Kemenetrian Pengajian Tinggi Malaysia) dan YBhg. Dato’ Dr. Abdul Hakim Juri (Presiden Universiti Kuala Lumpur).

Pameran MBOT turut diadakan sepanjang hari bagi menghebahkan kepada orang awam mengenai cadangan penubuhan MBOT di samping memberi peluang kepada orang ramai untuk bertukar fikiran dan berkongsi pandangan serta cadangan bersama pihak urus setia yang terlibat.

No comments:

Post a Comment