ISBN:978-9971-77-311-2
Buku ini merupakan kumpulan cerita para Wali Allah yang suatu masa dulu menjadi bahan rujukan dan bacaan dikalangan masyarakat agamawan dan juga para pelajarnya bagi bertujuan untuk menyampaikan faedah, manfaat, tauladan, pelajaran dan nasihat. Buku ini berbentuk cerita pendek yang mengandungi 99 siri berbeza, diterjemahkan dari karya Allamah Alyafi’iy yang telah dicetak berulang kali sehingga versi keenam dari 1993 hingga 2004 dalam Bahasa Indonesia/Melayu.
Method yang digunakan untuk menyampaikan pengajaran dalam keseluruhan buku ini ialah melalui penceritaan. Tradisi mengajar tersebut telah ada dalam banyak kebudayaan manusia, seperti Persia dan Nusantara. Islam yang pertama datang ke nusantara adalah Islam yang dibawa oleh orang-orang Persia lewat jalur perdagangan sehingga method penyebaran Islam juga dilakukan dengan bercerita. Cerita juga boleh membangkitkan keingintahuan kita. Penyampaian al-Quran juga ada menggunakan kaedah penceritaan, seperti dalam Surah Al-Kahfi (kisah Nabi Musa) dan Surah Maryam (kelahiran Nabi Isa). Cerita adalah salah satu method pengajaran yang baik dan berkesan .
Buku ini mendorong pembaca untuk memahami konsep perhubungan di antara hamba dan Pencipta. Umum sedia maklum bahawa para wali hanyalah kelompok yang ujud dikalangan manusia biasa, namun memiliki kefahaman dan kemampuan luar biasa serta kelebihan yang sedikit mirip dengan mukjizat para nabi dan rasul. Watak-watak utama di dalam kepelbagaian cerita tersebut merupakan orang-orang soleh dan wali Allah yang mana kerap disebut di dalam kitab-kitab tasawuf yang agung seperti Ihya’ Ulumiddin dan seumpamanya.
Sebahagian besar ceritanya bersifat metaforis dan spiritual sehingga menimbulkan gabungan perasaan yakin dan ragu, ditambah rasa ingin tahu terhadap kejadian dan pengalaman yang telah melangkaui akal waras seorang manusia normal. Pun begitu, pemilihan hadis-hadis yang sesuai berserta ayat Quran berdasarkan dalil aqli dan naqli dapat menguatkan lagi kisah-kisah ini bagi menjadi inspirasi dan tauladan buat masyarakat pembaca. Mengetengahkan kemampuan jiwa rohani yang luar biasa serta keyakinan terhadap kuasa Maha Pencipta ke atas setiap kejadian yang Dia kehendaki. Plot inilah yang menjadi kekuatan sebagai daya tarikan untuk terus membaca ke satu siri kepada satu siri seterusnya.
Selain itu, kekuatan buku ini ialah kepelbagaian watak wali yang membawa nilai murni, adab, akhlak terpuji serta kejadian fitrah alam semesta yang diketengahkan. Cerita-cerita tentang wali dengan orang-orang dari pelbagai taraf sosial masyarakat dipaparkan, seperti dengan pemerintah, sang raja, umul-mukminin, orang kafir, rakyat biasa dan fakir miskin. Akibat dari keimanan yang tinggi terhadap Yang Esa serta tahap pergantungan pada Qada’ dan Qadar Tuhan, maka banyak kejadian aneh dan ajaib mula berlaku disekitar mereka.
Disebalik itu, membaca buku ini akan ada pertanyaan kebenaran tentang cerita yang dibawakan, timbul perasaan krisis keyakinan, keraguan, pelik, ajaib dan diluar kelogikan pemikiran. Sebagai satu contoh, dalam cerita ke-24, yang diceritakan oleh Abdullah Al-Qurasyi sepanjang perjalanan bersama temannya, Ibrahim bin Adham radhiallahu-anhu. Setelah mereka turun dari kapal yang terselamat dari ribut, mereka meneruskan perjalanan. Abdullah merasa lapar sementara bekas yang diisikan makanan di dalamnya telah menjadi kosong. Maka Ibrahim pun mengisikannya dengan dedaunan sehingga penuh, dan diberikannya bekas itu kepada Abdullah. Ibrahim menyuruh Abdullah memakan darinya. Abdullah menerimanya dengan berat hati, kerana beliau sendiri telah lihat apa yang diisikannya di dalam bekas itu. Begitu dibuka semula bekas tersebut, ternyata semua dedaunan yang di dalamnya telah berubah sifatnya menjadi susu kering yang lazat. Abdullah menikmatinya sehingga kenyang.
Contoh di atas sukar diterjemahkannya melalui logik, mana mungkin daun bertukar menjadi susu tanpa sebarang proses fizikal. Namun, ia menjadi tanda kekuasaan Allah pada hamba yg mencintaiNya.
Saya sendiri tidak mempunyai komen terhadap cerita-cerita pelik dan ajaib dalam buku ini. Namun, saya berpendirian, sebenarnya untuk membenarkan cerita-cerita kaum wali Allah ini, mestilah anda menjadi wali dahulu. Dalam istilah tasawuf, “Tiada mengenal wali melainkan wali juga”. Jadi, jika anda bukan wali bagaimana anda akan mengenal diri wali itu, kemudian jika tidak mampu mengenal diri wali, bagaimana boleh menuduh perilaku dan peristiwa yang berlaku di atas diri seseorang wali itu?!
Sedikit intipati serta buah fikiran yang boleh dikenangkan seusai selesai membaca buku ini, kita akhirnya mampu berfikir diluar kotak tentang kelompok-kelompok manusia yang memiliki keistimewaan supernatural dikalangan para wali. Semakin kuat seseorang hamba itu mendekatkan dirinya kepada Allah, maka semakin terbukalah hijab alam ghaib untuk dimasuki. Tiada yang mustahil dengan keizinanNya .
Kesimpulannya, cerita-ceri ta dalam buk u ini memang mengandungi banyak hikmah, faedah, teladan dan ciri-ciri nasihat, sekalipun mungkin akan menimbulkan perasaan pelik dan ajaib. Olahan plot setiap cerita dibuat dengan baik, menjadikan buku ini tetap meninggalkan kesan kepada kita bertapa tingginya nilai cinta, kasih dan sayang dari Tuhan kepada manusia. Elemen ini akhirnya menjentik rasa takjub dan kagum ke atas sifat-sifat mustahil yang ada pada Allah SWT. Sekaligus membuka pembelajaran dan pengetahuan akan ajaran tasawuf dan makrifat ke arah jalan-jalan menemuiNya. Mana tahu, dari membacanya, rahsia pensucian diri itu akan menghinggapi sanubari kita sehingga dapat menukar pendirian dan sikap kita dalam kehidupan seharian.
No comments:
Post a Comment