Pages2

Wednesday, March 9, 2011

Bangunkan Sains Dalam Acuan Islam


Pemenang anugerah penghargaan Maal Hijrah 1427H

Catatan Editor

Wawancara ini dijalankan oleh team UmmahOnline yang diketuai oleh saudara Aqil Fitri selaku editor dan diterbitkan online di web UmmahOnline pada 25 Februari 2006. MajalahSains.Com mengambil inisiatif untuk menerbitkan semula wawancara yang mempunyai nilai ilmu yang tinggi ini untuk dimanfaatkan oleh pengunjung . Selamat membaca!

Agama dan sains, adalah dua wilayah yang berbeza [1]. Dalam sejarah Barat, lebih-lebih lagi ketika Zaman Renaisans, hubungan antara agama dengan sains mula dibangkit serta dipersoalkan ekoran daripada beberapa penemuan sains yang bersifat menggemparkan seperti perubahan kedudukan bumi dari geosentrik kepada heliosentrik. Dan, dari penemuan inilah antara dampak yang melahirkan istilah revolusi sains itu.

Kemudian, apabila Barat mula memasuki Zaman Pencerahan (Enlightenment) [2] hubungan antara agama dengan sains mula memuncak hinggakan berkumandangkan suara Laplace yang menganjurkan faham tentuismenya itu (determinism). Akhirnya, hubungan antara agama dan sains, dalam pengalaman Barat memang tidak pernah aman, meskipun vakuum agama sudah mula dirasai oleh komuniti sains mereka dewasa ini.

Sebaliknya, dalam Tamadun Islam, iaitu ketika belahan Barat masih lena lagi, hubungan antara agama dan sains berlangsung dengan suasana yang cukup harmonis dan murni sekali. Tidak pernah ada peristiwa dimana ilmuan Islam yang dibakar hidup-hidup seperti Giordano Bruno atau dipenjarakan seperti Galileo Galilei.

Jadi, perbedaan seperti inilah yang cuba diungkapkan oleh Mohd Yusof Othman (Prof. Dr) dalam wawancara beliau bersama Ummahonline Team baru-baru ini. Berlatarbelakangkan dalam displin fizik tenaga, beliau cuba membicarakan hubungan agama dan sains ini dari kacamatanya, sambil sesekali melantunkan firman Allah swt sebagai jawapan terhadap konflik sains yang berlaku di Barat. Bagi beliau, sains yang dibangunkan dalam konteks Barat ini terbatas sifatnya, yang tentunya dengan sifat ini ia tidak akan mampu membawa jalan keluar kepada kebahagian yang hakiki yang dicari oleh setiap insan.

Justeru, kepada para pembaca yang berminat untuk meneliti perspektif Professor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang juga pemenang Anugerah Penghargaan Maal Hijrah 1427 ini, maka eloklah disoroti hasil dari wawancara yang telah Ummahonline Team sempurnakan pada 13 Februari 2006.


Bagaimana anda melihat hubungan antara sains dengan agama?


Oh, yang menjadi isu sekarang di Barat ini kerana sains tanpa agamalah. Semua ini dari kita ini sedang menyaksikan satu keruntuhan tamadun manusia akibat tidak ada agama. Dan, tamadun Barat moden ini telah dibangunkan tanpa berasaskan agama. Jadi itu natijah yang paling jelas. Mereka eksploitasi alam ini semahunya, sehingga tidak ada nilai-nilai lagi yang memandunya. Jadi, akibatnya dia inilah. Malah, kepada saya, tentang isu yang hangat ketika ini, iaitu masalah orang yang menghina agama Islam ini, mereka sebenarnya (Barat) telah menghina agama mereka. Tapi, golongan gereja mereka tidak sehebat orang Islam dalam melawan arus ini. Bayangkanlah, bagaimana seks bebas, black metal, dll itu meluas atas alasan kebebasan yang dianjurkan oleh mereka. Ini dilema yang sedang mereka hadapi sekarang ini.

Jadi, adakah anda bermaksud agama mesti menundukkan sains? Begitu?


Tidak! Sains itu dibangunkan mesti dalam acuan agama, bukannya agama yang menundukkan sains. Mana boleh tunduk-menunduk di sini? Kita perlukan sains. Kalau tak, macamana kita nak ambil wuduk tanpa sains? Bagi tahu saya? Setakat nak cerita ambil wuduk begini begitu, air tak ada, buat apa? Juga, bagaimana kita nak membicarakan zakat, kalau harta kita sedikit? Bayangkan, kalau ada telefon bimbit, tapi tak ada agama, itulah yang pornografi masuk. Jadi, sains perlu dibangunkan dalam acuan Agama.

Sekarang ini, saya melihat, kita sedang berhadapan dengan kemusnahan. Ini bukan saya yang sebut, tetapi Fritjof Capra, fizikawan Austria, dalam bukunya The Turning Point. Capra menyatakan, “aku hairan manusia Barat ini, mereka berjaya mendarat di bulan dengan tepat dan jitu, mereka berjaya membangunkan alam ini, tapi mereka tidak boleh mengawal asap-asap yang keluar dari kenderaan dan kilang-kilang yang telah mencemarkan alam sekitar hingga ini mencetuskan global warming. Barat pun tahu, yang menyebabkan Taufan Katrina disebabkan oleh gempa bumi. Tapi kemusnahan alam ini masih berlaku. Barat juga membicarakan tentang maayarakat sejahtera. Mereka manifestasi dalam dalam filem-filem, tapi sebaliknya konteks kebahagiaan yang mereka hasilkan ialah, seorang isteri tidak boleh menghormati suaminya dan sebaliknya, anak-anak tidak tahu dididik oleh ibu bapanya serta pemimpin-pemimpin yang membohongi rakyatnya, dll. Ini yang disebut oleh Fritjof Capra itu. Melihat dari kehancuran ini, bangkit satu golongan yang mahu melihat keserasian antara agama dan sains, tapi malangnya orang-orang yang menguasai media massa ini adalah mereka yang ekstrim sekularnya, sebab itu mereka tidak membawa aspirasi yang bertentangan dengan mereka.

Ya, bila kita merujuk kepada Fritjof Capra juga, iaitu dalam bukunya yang satu lagi The Tao of Physic, memang Capra menoleh penyelesaian masalah-masalah Barat kepada ajaran Timur. Tetapi, apakah ini boleh membuktikan bahawa memang wujud kekosongan spiritual yang besar dalam masyarakat Barat itu?


Ya. Sebab itulah ramai saintis Barat mengajak balik kepada spiritual dan agama. Malah, Albert Einstein yang dianggap sebagai tokoh yang begitu hebat pernah menyebut, ‘sains tanpa agama laksana orang gila memegang kapak’. Dan, kalau saya menambah, ‘sains tanpa agama kemusnahan, agama tanpa sains tempang’. Amalan agama tidak boleh dilaksanakan tanpa sains. Sebab itu, tujuan manusia diciptakan oleh Allah swt ialah untuk menjadi khalifahnya. Khalifah ini tidak boleh dilaksanakan tanpa ilmu pengetahuan iaitu sains itu. Bagaimana saya nak bela kambing, bagaimana saya nak bercucuk tanam dan segala-galanya, kalau tanpa sains? Tetapi, kalau dibiarkan sains itu, maka ilmu yang berhubung dengan penerokaan alam itu akan terlepas tanggaungjawab dengan Tuhannya, maka inilah jadinya. Jadi, kita kena sedar, dalam konteks Islam, tujuan agama itu bukannya amalan-amalan ritual semata-mata. Dan, sebab itu, Islam tidak memisahkan amalan ritual dengan bentuk yang lain-lainnya.

Bagaimana pula dengan usaha yang dibuat untuk mencocokkan Al-Quran dengan penemuan-penemuan sains?


Yang ini saya tidak bersetuju! Sebab itu ada penulisan yang menyebut hal ini sebagai Bucaillisme. Kita cari apa yang ada dalam al-Quran, kemudian apa yang ada dalam sains, maka terbukti itu benar. Bukan begitu! Memang al-Quran ada menerangkan begitu, tetapi al-Quran bukannya kitab sains. al-Quran lebih besar dari itu, huda li muttaqin, iaitu memberi petunjuk, memberikan falsafah serta dasar-dasar sahaja. Maka, untuk yang terperincinya, al-Quran menyatakan ‘fas’alu ahlaz zikri in kuntum la ta’lamun’, tanyalah kepada yang pakarnya, meskipun yang kita tanyakan itu bukannya muslim sekalipun.

Sekarang ini ramai orang yang memahami agama sebagaimana Barat memahami agamanya. Jika kita tanya orang Barat yang sekular ini, adakah kamu beragama, ya saya beragama, jawab mereka. Tapi cuba kita tanya dia tentang agama Kristian, dia tidak faham. Begitu juga apa yang berlaku kepada orang Melayu dan Muslim. Dia pergi sembahyang, dia pergi puasa, dia pergi Haji, tapi apabila kita sebut mengapa kamu membuat perkara ini hingga merosakkan alam, dia akan cakap I don’t care. Ini disebut sebagai orang yang bersifat indifferent, saya tak kata muslim ini sekular. Indifferent terhadap agamanya, dan juga terhadap sains. Dia tidak akan sedar keserasian dua hal ini, setelah ia ditanam dengan nilai-nilai yang meroskakkannya ini.

Sebab itu kita perhatikan, ramai ahli-ahli sains tidak kisah tentang masyarakatnya. Sebab memang pendidikan sains yang kita terima di sekolah itu telah memisahkan sains daripada masyarakat. Ilmu yang berkaitan dengan pengurusan masyarakat itu diajar kepada orang lain sebenarnya. Sebab itu, orang sains mereka hanya belajar satu perkara saja, dan akhirnya mereka merasa seronok. Itu yang jadi bahayanya. [3]Sekarang persoalannya, bagaimana nak mengembalikan sains seperti yang diterapkan oleh Al-Farabi, Al-Kindi, Ibn Sina, dll?

Sebenarnya, di manakah kedudukan anda, bila pemenang Hadiah Nobel Fizik, Abdus Salam sendiri telah mengkritik Hossein Nasr tentang gagasan Sains Islam, manakala di waktu yang sama anda pula menawarkan Sains Insan dalam banyak tulisan anda? Jadi, di mana posisi anda? [4]


Ok, sekarang ini sebelum menjawab soalan anda ini, kita kena jelaskan dahulu, apa itu definisi sains? Kalau menurut orang Barat sendiri, iaitu Peter Medewar, salah seorang pemenang Hadiah Nobel, dia menyebut sains adalah satu usaha (di sini, pada awalnya bukannya ilmu pun yang disebutnya, malah dia nak cuba elak dari menggunakan perkataan ilmu) untuk memahami fenomena tabii alam secara rasional, objektif dan sistematik dengan menggunakan kaedah yang tertentu, yang diperantikan untuk menumpukkan pengetahuan, daripada seseorang itu tidak tahu kepada tahu. Itulah ringkasnya apa yang dimaksudkan oleh Medewar tentang definisi sains ini.

Definisi ini kita boleh jelaskan begini. Umpamanya, Galileo Galilei ambil sebiji batu dan dilepaskan di Menara Pisa, kemudian setelah itu dia ambil bulu ayam pula dan dilepaskan. Di sini, dia tengok sama atau tidak masa untuk objek-objek ini mendarat. Oh, tak sama, kata Galileo. Jadi, untuk menumpukkan pengetahuan yang boleh dipercayainya, maknanya, bila saya membentang ilmu menurut kaedah ini, maka semua orang boleh terima, boleh mempercayainya. Kalau kita lihat takrifan sains seperti ini, maka kita akan perhatikan ada lima perkara yang perlu kita lakukan untuk membangunkan sains ini.

Pertama, kemampuan untuk melihat fenomena alam tabii, dan kedua ialah secara rasional, manakala ketiga kita mesti ada alat atau kaedah tertentu, iaitu kita mesti tanya kenapa batu dengan bulu ayam tidak jatuh sama dalam kes Galileo tadi? Begitu juga, contohnya, kita mesti Tanya, kenapa api yang panas membakar? Kenapa pisau yang tajam memotong? Kenapa air yang dicincang tidak akan putus? Petanyaan ini boleh dijawab sama ada melalui eksperimen seperti Galileo Galilei, atau pun teoritikal seperti yang dilakukan oleh Albert Einstein atau Abdus Salam. Dan, yang keempatnya, kita akan menumpuk pengetahuan. Aakhirnya, yang kelimanya ia boleh dipercayai. Dalam sains ada error analysis. Kenapa ada error analysis ini? Jadi untuk mengelakkan error analysis ini kita mesti melakukan ujikaji berulang-ulang kali supaya sebarang unsur-unsur yang manusiawi itu dapat dielakkan.

Itu definisi sains. Jadi, bagaimana pula untuk membangunkan sains? untuk membangunkan sains ini kita terpaksa mengambil tiga premis. Premis pertama ialah alam ini ada tabiinya. Apa tabiinya itu? Umpamanya seperti tadi, api itu membakar, pisau itu memotong, air dicincang tidak akan putus, objek yang dilepaskan akan jatuh, pokok memerlukan matahari, itulah yang dinamakan tabiinya. Ini juga yang kita sebut sebagai sains tabii. Yang kedua ialah, lelaki atau wanita, tua atau muda, Timur atau Barat, dalam bahasa dan bangsa apapun, kita sebagai manusia boleh mempersoalkan keteraturan alam tadi. Jika pisau boleh memotong, kita boleh tanya kenapa pisau itu memotong? Kenapa api boleh membakar? Kenapa tumbuh-tumbuhan memerlukan cahaya matahari? Manakala, premis yang ketiga ialah, setelah kita mengamati fenomena tersebut, kita akan mendapat keputusan dan kesimpulan yang sentiasa sama.

Nah, kembali untuk menjawab soalan anda ini, sekarang ini Abdussalam menerima takrif sains yang seperti ini sebagai premisnya. Kalau orang Islam tidak maju dalam sains, maka dia juga tidak akan maju dalam kehidupannya. Manakala, Sayyed Hossein Nasr menolak takrif sains yang seperti ini. Hujah Hossein Nasr, kalau sains memutlakkan tabii alam, umpamanya api itu membakar, jadi bagaimana kita nak menceritakan tentang Nabi Ibrahim as yang dicampak dalam api, tetapi tidak terbakar, kecualilah kita tidak percaya. Sebab itu, apabila orang-orang Barat yang subscribe dengan sains, atau saintisme ini, maka mereka juga akan memutlakkan sains sampai menafikan yang perkara-perkara yang lain daripada sains. Cerita-cerita dalam Bible misalnya, begitu juga dalam al-Quran, misalnya cerita Nabi Musa as yang membelah air laut. Macam mana kita nak percaya semua ini? Cerita al manna wassalwa yang diturunkan daipada langit ketika zaman Nabi Musa as, bagaimana kita nak percaya kejadian ini secara saintifik?

Jadi, apa kaedah untuk kita mendamaikan antara daerah sains itu dengan daerah yang barangkali kita boleh sebut sebagai metafizik ini?


Ok, saya belum habis lagi. Jadi macam mana dengan sistem kepercayaan kita? Kalau kita terima al-Quran itu sebagai mutlak, dan al-Quran itu wahyu Allah swt, maka kita akan mengatakan bahawa alam itu memang tabii. Api yang panas itu membakar, tetapi kebolehterbakaran api itu bukannya bergantung kepada apinya, tetapi dengan keizinan Allah swt. Dalam konteks Nabi Ibrahim as, Allah swt tidak mengizinkan api membakar. Jadi pembakaran itu berlaku dalam keadaan isolated. Tabii api memang terbakar, tetapi kebolehan api untuk membakar adalah tidak bergantung kepada dirinya sendiri. Tapi dia bergantung kepada kehendak Allah swt yang menjadikannya. Pisau yang tajam itu memotong, ya, tetapi pisau tersebut tidak akan memotong secara mutlak. Jadi, di sini peranannya berbeza. Kalau tadi kita menolak agama sebab kita memutlakkan sains, manakala yang ini kita memutlakkan al-Quran. Banyak pun kes kalau saya boleh membuktikan David Copperfield. Macamana kita nak jelaskan? Orang-orang Hindu yang berjalan atas api, macamana kita nak jelaskan? [5] Tabii ini berlaku sebab manusia dilantik oleh Allah swt sebagai khalifahnya. Maka manusia mesti tahu. Tetapi pengetahuannya tidak mutlak.

Jadi, umpamanya kita ungkapkan apa yang dikatakan oleh Ian G. Barbour dalam bukunya When Science Meets Religion, katanya fenomena fizik quantum sendiri telah menunjukkan peranan Tuhan?


Tidak! Fizik quantum itu berlaku secara tabii. Kita tidak boleh menerangkan alam ini secara Newtonian apabila kita pergi kepada peringkat mikroskopik. Jadi Newtonan disini tak boleh pakai lagi. Dan eksperimennya memang menunjukkan demikian. Jadi, fenomena itu berlaku secara tabii. Justeru, fenomena ini berlaku bukan sebab ada Tuhan atau sebaliknya. Peranan Tuhan jauh lebih besar dari itu. Sebab itu saya cukup bimbang dengan kaedah yang diperkenalkan oleh Maurice Bucaille. Kaedah di mana, ada dalam al-Quran, dan dalam sains, maka ianya ada. Ini juga diikuti oleh Harun Yahya dari Turki itu[6]. Saya benar-benar bimbang dengan kaedah ini. Kaedah ini sebenarnya boleh ’menipu’ kita. Umpamanya, kalau sesuatu itu tidak ada dalam sains bagaimana? Ini kerana kita melihat seolah-olah sains itu mutlak.

Tapi saya tahu, sekarang ini golongan mereka ini (aliran Bucaillisme) telah merubah pendekatan. Mereka mula mengatakan ilmu yang kita miliki ini kecil. Dalam Islam, kita kena terima bahawa ilmu daripada Allah swt ini macam lautan. Umpamanya, dalam kehidupan manausia, yang hendak dicari itu ialah kebahagian. Bahagia itu ada apa? Di mana ada kebahagian? Jadi, dalam Islam bahagia bukannya boleh disaintifikkan. Dalam surah al-Hujurat, Allah swt ada menegaskan mengenai kebahagiaan ini melalui jalan memeluk agama Islam. Begitu juga, saya tidak boleh memberi kebahagian kepada isteri dan anak-anak saya. Tetapi bahagia itu akan diberi oleh Allah swt, sekiranya saya berusaha untuk keimanan dan saya tidak boleh tipu isteri saya. Tetapi di Barat lain. Kita baca tentang, misalnya Catherine Zeta-Jones berkahwin dengan Michael Douglas. Mereka menggunakan taruhan wang sebagai penentu kepada berpisahnya mereka. Siapa yang curang akan mendapat wang itu. Dalam Islam, pergantungannya bukan kepada kebendaan. Jadi premisnya sudah lain. Justeru, sains itu perlu berada di bawah Islam tadi. Sains hanya sebagai alat sahaja. Sebab itu saya tegaskan bahawa sains perlu dibangunkan dalam acuan Islam. Jadi itu caranya yang sebenar.

Itu juga yang saya cuba sampaikan dalam banyak tulisan saya. Sebab, masalah dalam penulisan ini, buah-buah fikiran yang ada dalam minda saya, kemudiannya saya nak bentangkan dalam makalah atau buku. Jadi bila orang lain yang membaca, dia tidak faham macam saya faham. Apatah lagi bila mereka membandingkan antara siapa Abdus Salam dengan Yusof Othman itu. Lalu, mereka tidak berani nak komen dah. Jadi silapnya di situ. Abdus Salam silapnya di situ. Abdus Salam marah kepada Sayyed Hossein Nasr dalam buku Islamic Science, Pervez Hoodbhoy. Kata Abdus Salam, kalau kita mengajak orang kepada ‘Sains Islam’ maka kita akan melakukan kemusnahan. Kemudian, balas Sayyed Hossein Nasr pula, kalaulah benar hujah yang dikemukakan oleh Abdus Salam tadi, tentulah orang-orang Barat, apabila dia berkarya dalam sains dan teknologi, dia tidak akan hilang agamanya. Tetapi, kenapa ahli-ahli sains Barat ini makin jauh dari agamanya?

Jadi, adakah ini juga menunjukkan bahawa sains itu tidak bebas nilai?


Ya, mereka pergi kepada nilai-nilai saintifik, atau dewasa ini turut dikenali sebagai saintisme. Dan, hari ini kita boleh perhati masyarakat ini menggunakan nilai ini, dia suka pada saya, saya pula suka padanya, so what? Tanpa ada rasa malu lagi. Malu ini bila ada bersalah. Sebab, apabila nilai agama sudah tidak ada, maka hilanglah rasa bersalah itu. Seseorang itu tidak akan mencuri hak orang, kalau dia mempunyai agama.

Perbincangan antara sains dengan agama juga akan membawa kita kepada perbincangan antara alatnya, iaitu akal dan wahyu. Tetapi tidakkah wahyu dan akal itu sejajar, maksudnya masing-masing saling merlu-memerlukan?


Bukan! Ilmu manusia yang menggunakan akal itu seumpamanya titisan air sahaja. Manakala ilmu Allah swt (wahyu) itu seluas lautan. Ilmu yang ada kalimat itu, itu sebenarnya ilmu Allah swt. Alif Lam Min itu saya tidak tahu maknanya. Sebab itu ada Paderi Kristian yang pelik dan pernah bertanya, kenapa muslim dia sembahyang juga walhal dia tidak faham? Sedangkan kami yang Kristian ini faham apabila kami sembahyang. Dan, saya kata hujah tersebut tidak betul. Muslim memanglah tidak faham. Muslim, bila mereka sembahyang dia tidak tahu kenapa? Ini kerana aslama. Tetapi kalau dia berdoa, dia kena tahu apa yang dia baca. Saya tidak tahu kenapa saya baca al-Fatehah sewaktu sembahyang. Tapi itulah menunjukkan aslama. Kita menerima ritual tanpa ada membangkitkan persoalan-persoalannya. Sebab itu, kalau kita nak tahu makna-makna al-Fatehah setahu-tahunya, itu sesuatu yang mustahil. Sebab itu adalah wahyu Allah swt. Yang muslim tahu ialah sebahagian kecil untuk kita beramal sahaja.

Jadi kalau kita berbalik kepada quantum, ia sebenarnya tidak ada apa-apa. Quantum, meksipun di sana terselit pengajaran, ianya hanya mengambarkan perubahan dari satu bentuk ke satu bentuk yang lain, iaitu dari pendekatan klasik (Newtonan) sudah tidak boleh digunakan. Ibaratnya, saya berada di kampung dan datang ke bandar, saya tidak boleh menggunakan paradigma kampung untuk tinggal di bandar lagi.

Tapi, adalah tidak tepat kalau kita menolak Newtonan sepenuhnya, kerana ia masih dapat berfungsi dalam alam makroskopik?



Ya, ia benar dalam alam makroskopik. Tetapi ia sudah tidak relevan dalam alam mikroskopik. Malah, sekarang ini kalau anda tanya saya, maka saya akan tambah lagi tentang nanoteknologi. Apabila orang mula bercakap tentang nanoteknologi, apakah nano zarah itu memerlukan tenaga seperti kita sekarang? Itu satu persoalan yang sangat besar. Sebab, asas kepada gerakan Newton adalah suatu objek yang bergerak itu memerlukan rintangan, kalau tidak ia tidak boleh bergerak. Saya nak bergerak ini, mesti ada rintangan. Dan, dalam menerangkan bahan superkonduktor material seperti ini, iaitu tentang nanoteknologi ini, ia tidak ada rintangan.

Wah, tanpa menggunakan tenaga, zarah tersebut masih boleh bergerak?


Ia, zarah tersebut masih boleh bergerak. Telah pun diuji, bahawa elektron masih boleh bergerak dalam bahan superkonduktor, meskipun tanpa rintangan dan tanpa tenaga. Jadi, kalau sesiapa boleh jelaskan hal ini, dia dapatlah Hadiah Nobel (ketawa). Kini apabila Werner Heseinberg membangkitkan soal dualiti (zarah-gelombang), maka kita kini tidak menngunakan Newtonan lagi. Dan, mungkin suatu masa nanti, kita tak pakai dah keadaan quantum ini. Kita beralih kepada yang lain pula. Itu sesuatu yang tidak mustahil boleh berlaku. [7]

Bagaimana pula dengan Teori Kenisbian Einstein?

Ya, macamana Einstein mengamati objek di cakrawala. Dia merumuskan tidak ada objek yang tidak bergerak di cakrawala tersebut. Ya, pengamatan ini betul. Jadi, pandangan tiga dimensi yang selama ini (Newtonan) kita tidak boleh dipakai lagi, maka kita kena tambah satu lagi, menjadi empat dimensi, iaitu masa. Dengan adanya dimensi masa ini, maka ia boleh untuk menerangkan pergerakan objek-objek di cakrawala itu. Sebab itu, kalau kita nak menerangkan, umpamanya teori denguman besar (Bing-Bang theory), kita mesti guna teori kenisbian ini.

Sebagai seorang saintis muslim, sikap anda sendiri terhadap teori kenisbian ini?


Ya, tak ada masalah. Teori ini hanya untuk menjelaskan. Saya makan nasi saya kenyang. Memang kenyang itu Allah swt itu bagi, jadi apa salahnya jika saya cuba nak jelaskan kenapa saya boleh kenyang. Tetapi jangan sehingga sains itu mengawal hidup saya, budaya saya, dll.

Sekali lagi, bagaimana mahu menjelaskan peranan Tuhan dalam kejadian alam. Pertama, adakah Tuhan menciptakan kesempurnaan alam, lalu membiarkan alam terurus secara tabii (deis), atau kedua, Tuhan menciptakan alam lalu sentiasa campur tangan, dari masa ke semasa, dalam penciptaannya tersebut?


Itu pandangan siapa? Itukan pandangan Kristian! Tuhan sentiasa campurtangan dalam segenap aspek penciptaannya. Kalau kita telaah dalam surah al-Sajadah, Allah swt ada menegaskan peranannya yang terus menerus, tanpa henti-henti. Kalau tidak, seperti tadi, macam mana kita nak menjelaskan Nabi Ibrahim as tidak terbakar?

Jadi, adakah langsung tiada ruang untuk kita jelaskan secara mantik soal-soal ini (metafizik)?


Ya, memang tidak ada ruang untuk itu.[8] Sebenarnya, orang yang bermula cakap-cakap begitulah, itulah dia akan mula cipta ajaran sesat. Yang perlu kita tahu ialah, bagaimana kita nak memahami tabii-tabii alam ini, dan bagaimana kita dapat bertindak dengan alam supaya kita tidak terkeluar dari batas-batas agama. Kita tidak percaya pada azab kubur. Sahabat Rasulullah saw pernah bertanya, ‘apakah benar Tuhan akan menghidupkan kita semula?’. Sebaliknya Rasullah saw menjawab dengan mudah, ‘apakah susah sangat Tuhan nak menghidupkan semula daripada yang telah ada, berbanding menciptakan sesuatu dari tidak ada langsung’. Jadi, di sini Rasulullah mengajak ummatnya untuk berfikir dengan paradigma begitu.

Mudahnya, muslim seharusnya mempunyai paradigma yang berbeza?


Ya, begitu. Sebab masalahnya sekarang ini, maaf jika saya katakan, bahawa kalau kita perhatikan agama-agama lain, mereka cuba untuk mencipta Tuhannya sendiri. Sebenarnya, dalam Hindu pun, Tuhannya tidak boleh digambarkan. Sebab itu, implikasi bila munculnya karikatur Rasulullah saw ini, menunjukkan bahawa golongan-golongan ini (Barat) sudah lama dah mempermainkan agama. Malangnya, orang-orang Kristian sendiri tidak memberi respons. Macam kumpulan Sister in Islam ini, mereka minoriti, tetapi dia bising bukan main lagi. Bila dia mendakwa mereka mewakili wanita Islam di Malaysia, itu tidak betul.

Bercakap tentang krisis tafsir agama ini, termasuk juga bagaimana kita nak melihat sains, adakah ini menandakan kita memerlukan dialog atau pun satu bentuk kawalan sepihak?


Kalau tentang sains dengan agama tadi, dialog itu memang perlulah. Tetapi yang pentingnya kita kena tukar paradigma kita berfikir. Paradigma kita ialah, al-Quran itu mutlak, manakala sains ini baru dan tidak mutlak. Malah, Fittjof Capra juga mengatakan sains itu tidak mutlak. Apa buktinya sains itu tidak mutlak? Teorinya yang berubah-ubah. Teori atom contohnya, Dalton, Rutherford dan Sommerfeld masing-masing mempunyai tafsiran teori yang berbeza. Malah, sekarang ini kita gunakan tahap tenaga (energy level), ia lagi berbeza. Jadi, kalau itu sifat sains, maka banyak lagi kita tidak tahu. Albert Einstein sendiri juga menyatakan, ‘makin banyak kita teroka, makin banyak juga yang kita tidak tahu’. [7]

Jadi, kita lihat sains itu relatif, sebaliknya al-Quran itu tidak relatif. Kita tahu, al-Quran menunjukkan (penjilidannya itu) sebuah kerja yang saintifik, kajian, yang sampai hari ini pun berterusan menunjukkan hebatnya kajian itu. Apa buktinya? Tidak boleh orang mempertikaikan keaslian Al-Quran. Terbukti, memang tidak ada orang yang berjaya mempertikaikan. Sepanjang zaman, orang telah cuba, tapi akhirnya usaha itu dapat disangkal. Bible yes! Sebab Bible tidak ada teks yang asal, iaitu daripada kata-kata atau ucapan Nabi Isa as. Sebab orang Kristian kata, dalam Bible itu ada kata-kata Jesus Christ, Cesar dan sebagainya. Tapi dalam al-Quran tidak ada. Malah, mereka yang nak buktikan bahawa Al-Quran ini cumanya kata-kata Rasulullah saw, maka tentunya kita boleh bezakan bila kita tengok cara grammar antara Al-Quran dengan Hadith, itu sudah nyata lain sekali. Macam, Innama al-amal bi al-niyyat (setiap amalan bermula daripada niat), maka ini grammar hadith. Saya sendiri sedang menulis satu buku, buku yang bertajuk, Sains, Masyarakat & Agama, sebagai usaha untuk menjelas tentang hubungan antara ketiga-tiga ini.

Begitu juga berbalik kepada tadi, apa itu definisi sains? Dan, bagaimana sains dapat menjelaskan tentang Isra wa Mikraj, misalnya. Jika anda tidak percaya, anda telah menolak Al-Quran. Firman Allah swt dalam surah al-Isra’, subhanalladzi asra bi ‘abdihi lailan minal masjidil haraami ilal masjidil aqsa, (mahasuci Allah yang telah menjalankan hambanya di waktu malam dari Masjid Haram ke Masjid Aqsa). Sebab itu saya kata, bila kita terlalu kuat sangat sainsnya seperti yang difahami oleh Barat, maka kita akan mengesampingkan agama, dan akhirnya perkara-perkara seperti ini yang kita tidak akan percaya. Sebab itu, saya bimbang dalam sistem sekolah kita mengajar agama itu bukan dalam konteks huda li muttaqin, tapi agama dalam konteks sains. Itu silapnya.

Tentang kebimbangan anda ini, adakah ini juga kesan dari apa yang anda pernah sebut tentang konsep dualisme dalam pendidikan itu?


Pada saya, ini orang yang tidak faham. Dualisme itu ada. Macam, lelaki dan perempuan ada, positif dan negatif ada, tapi dualisme itu tidak bererti kita pisahkan. Dualisme itu ialah saling lengkap-melengkapi, baru nice. Agama yang mengajak orang itu berbuat baik, sebaliknya sains tidak mengajak ke arah itu. Sila beritahu saya? Sains sebenarnya hanya menyatakan tentang etika masuk makmal, etika belajar, tetapi hakikatnya etika menurut agama itu lebih tinggi kedudukannya. Sebab agama itu adanya dosa dan pahala. Dosa dan pahala itu lebih besar nilainya dari harta, dan apa-apa yang kita pada ada.

Maknanya tentang dosa dan pahala ini, anda menganjurkan penekanan kepada dimensi metafizik, kemudiannya barulah fizik, begitu?


Bukan, saya tidak ada menekankan kepada mana-mana. Sekali lagi, saya menekankan sains itu perlu dibangun dalam acuan Islam. Sebab perkataan metafizik itu kita ambil maknanya dalam bahasa Inggeris. Dan, bahasa Inggeris, dalam istilah itu membawa makna yang bersifat sekular.

Contohnya?


Ya, contohnya dalam bahasa Inggeris mereka sebut justice, apa yang mereka maksudkan tentang justice ini? Maknanya di sini, seorang hakim yang mnejatuhkan hukuman itu, berdasarkan kepada prinsip sama rata. Tapi dalam Islam bukan sama rata. Dalam Islam berasaskan ayat, ‘berlaku adillah, sebab adil itu mendekatkan kamu kepada ketaqwaan’. Seorang hakim yang nak menjatuhkan hukuman dengan berdasarkan konsep adil, yang di pentingkannya ialah ketaqwaan kepada Allah swt. Sebab itulah Saidina Ali kwj tidak mempertikai baju besi yang diberi kepada Yahudi. Sebab itu juga, dalam Islam, pembahagian harta diberi dua bahagian kepada lelaki, dan satu bahagian kepada perempuan, sebab Islam itu mahu berlaku adil. Tapi sains itu tidak adil. Tapi yang dipentingkan dalam Islam ialah ketaqwaan kepada Allah. Justeru, sekarang bila anda menyebut metafizik, metafizik kita ini bererti dalam konsep dan konteks Barat, yang memisahkan itu. Ini yang saya tidak setujunya.

Itu, saya kata tentang istilah adil, bagaimana pula dengan ethic? Ethic tidak sama dengan adab dan akhlak. Ethic tidak ada Tuhan. Sebaliknya, kalau kita tengok, akhlak datangnya dari perkataan khaliq dan makhluk. Masyarakat ada Tuhan, sains itu tidak ada Tuhan. Syura itu ada Tuhan, meeting tidak ada Tuhan. Ilmu ada Tuhan, knowledge belum tentu adanya Tuhan. Iklhas ada Tuhan, sincerity tidak ada Tuhan. Jadi, dalam konteks Islam, istilah-istilahnya, yang berbentuk makna-makna kefalsafahan ini, dia tidak akan menjauhkan kita daripada Tuhan. Tetapi dalam Barat, mereka mencipta istilah itu, yang asalnya ada Tuhan, tetapi sekarang mereka telah keluarkan. Sincerity, so what? Contohnya, dalam Islam, saya ikhlas dengan dia (isterinya). Kalaulah saya tak ikhlas, saya tak jujur, tentulah bila kami dapat anak, saya tak bertanggungjawab. Tapi, bila saya ikhlas, saya bertanggunjawab. [9]

Tetapi, etika Barat juga sedia untuk bertanggungjawab, bukan?

Dia bertanggungjawab atas apa, bila Tuhan tak ada? Kita tanggungjawab pada Tuhan nombor satu, dia tanggungjawab pada undang-undanglah. Dan undang-undang ini orang Barat cukup takut, sebab itu kita tengok orang Barat ini cukup berperaturan. Takkanlah mereka nak berperaturan dengan Tuhan, sedangkan konsep Tuhan mereka tidak ada. Sebab itulah, Islam menekankan ‘atiullaha wa ati’ urrasul wa ulil amri minkum’. Tapi bila pemerintah itu mengajak kita pada yang keburukan, maka kita tak boleh taat lagi.

Tetapi, bila anda menyentuh Barat nampaknya lebih berperaturan, bukankah ini menunjukkan kelemahan bila menyandarkan tangunggjawab pada Tuhan?


Itu yang saya nak sebut-sebutnya. Sebab ada sesuatu yang tidak kena pada sistem pendidikan Islam kita. Kita mengajar Islam, minta maaflah saya cakap, macam lebai punya mengajar. Dalam tak sedar, lebai-lebai ini sekular juga. Contohnya, pergi sembahyang sahaja ibadah, belajar itu tidak ibadah. Saya fikir, ini salah! Lagi, mereka ini cenderung untuk menyatakan hal-hal fardu ain seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji seolah-olah tak payah benda lain lagi, itu sekular maksud saya. Sedangkan ilmu ini tidak boleh dipisah-pisahkan. Dalam Islam, kita hanya buat pengkelasan sahaja, tetapi bukan bermakna memisah-misahkannya. Ilmu kifayah bererti sebahagian sahaja yang memilikinya, yang lain tak payahlah. Tapi ilmu fardu ain semua orang kena miliki. Ilmu yang berhubung dengan Tuhan, ilmu yang berhubung dengan sembahyang dll adalah tuntutan semua orang (muslim). Tapi ilmu yang cari air, sebahagian sahaja yang mesti menuntutnya. Tapi jangan kata ilmu cari air ini tak penting, sebab kalau tidak ada air, kita tidak boleh ambil wuduk. Jadi, kalau begitu juga , kita boleh sembahyang. Jadi, kalau kita orang agama, yang hanya mementingkan begitu, tetapi dalam waktu yang sama kita tidak menghubungkan dalam kehidupan, maka itulah yang jadi sekular pada saya.

Terakhir, bagaimana anda mengamati, contohnya dalam kemuncak sains Islam, mereka yang belajar ilmu optik dengan Ibn Haitham, dalam waktu yang sama, ilmu-ilmu tersebut tidak akan bertembung dengan pelajaran tentang konsep cahaya oleh Suhrawadi. Bagaimana kedinamikan ini boleh berlaku?


Ya, begitu juga dengan al-Biruni. Anda tahu, tak? Galileo Galilei yang dapat anugerah pada tahun 1611, manakala pada tahun 1616 Galileo dipenjarakan, mengapa? Sebabnya, Galileo menyebut bumi yang kita diami inilah yang sebenarnya mengelilingi matahari. Dan, pada waktu itu golongan gereja yang berpengaruh dan berkuasa, maka gereja tangkap Galileo ini. Dan, Galileo ini dihukum penjara sehinggalah ke akhir hayatnya. Dan, kebetulan Galileo ini orang terkenal, makanya hanya dikenakan tahanan dalam rumah sahaja. Anak muridnya yang bernama Giordano Bruno, telah dibakar hidup-hidup. Itu sejarah mereka (Barat), sedangkan sebelum tahun 1000 Masihi lagi, al-Birunilah yang mula-mula mengatakan, yang lengkap dengan lakaran sekali, bahawa bumilah yang mengelilingi matahari. Tapi, ia tidak jadi isu pun. Dan, orang Islam tidak pernah tangkap dan penjarakan Al-Biruni ini. Itu hebatnya tamadun Islam. Jadi, kita kena tahu, ini adalah ilmu yang berusaha untuk menerangkan alam, sebab dalam al-Quran itu, ia tidak memperincikan seperti sebuah ensiklopedia sains. Jadi, respon saya pada soalan terakhir anda ini, fenomena tabii dan kajian sains bukannya menjadi masalah besar dalam tamadun Islam, tidak seperti yang berlaku di dalam tamadun Barat.




==========TAMAT ARTIKEL

Ulasan Leokid:

[1]

Agama adalah bersumberkan wahyu, manakala sains adalah bersumberkan alam. Kedua2nya datang dari Allah, justeru tidak mungkin wujud percanggahan antara keduanya. Bezanya, adalah pada keupayaan kita dalam memahami nas dan dalil dalam agama, atau keterbatasan kita dalam menjumpai penemuan sains. Justeru itu pendirian yang saya ambil, apabila jumpa isu sains yang bertentangan dengan Islam = "Sama ada kita tersilap memahami dalil/nas, atau kita masih belum habis mengkaji lagi perkara tersebut."
#Ya betul,jangan melenting2 pula, - sulaimanutem,

[2]

Kebangkitan zaman Enlightement, adalah seiring dengan kejatuhan zaman kegemilangan Islam. Antara teorinya adalah dikatakan adanya usaha menterjemah dan membawa masuk karya-karya ulama' Islam lalu ditelaah. Di zaman kegemilangan Islam, isu ini tidak menjadi masalah pun, kecuali dalam perkara-perkara melibatkan ilmu kalam (philosphy) yang banyak menggunakan akal sehingga membelakangkan dalil. Adapun dalam bidang sains, optik, perubatan, astronomi, kimia dsb, tidak timbul isu "bertentangan dengan alquran" dsb.

[3]

Ulama' Islam zaman kegemilangan dahulu, mengamalkan integrasi ilmu. Kita sendiri tahu, berapa ramai tokoh yang ada yang merupakan pakar perubatan, namun dalam masa yang sama pakar matematik, pakar biologi, pakar fizik, dsb. Inspirasi itulah yang menjadikan saya cuba sedaya upaya untuk minat dalam segenap bidang. Meskipun saya berada dalam bidang perubatan, ia tidak menjadi penghalang untuk saya meminati bidang kejuruteraan, pengkomputeran, kulinari hatta bidang agama sekalipun.

Zaman sekarang, ada sesetengah pihak memandang serong kepada golongan yang digelar "protaz" (professional ustaz), kerana tidak memiliki profesion agama yang rasmi. Ini satu pandangan yang tidak kena, kerana sedangkan di zaman dahulu pun sudah wujud "protaz". Al-Biruni itulah protaz! Ibn Haytham itu protaz!

[4]

Persoalan ini, walaupun dipenuhi dengan input yang agak berat, namun saya gesa untuk anda memahaminya dengan sebenar-benar, kerana ini antara titik penting yang perlu untuk memperincikan isu sains dan Islam. Sila baca semula jawapan kepada persoalan ini.

[5]

Contoh-contoh ini tidak bermaksud hendak menyamakan David Copperfield atau orang hindu berjalan atas api itu dengan mukjizat yang dialami oleh Nabi, namun contoh-contoh ini sekadar menunjukkan bahawa terdapat banyak aspek yang tidak dapat dijelaskan oleh sains, namun tidak mustahil ATAS KEIZINAN ALLAH.

[6]

Saya kurang meminati, malah jarang sebenarnya membaca karya-karya Harun Yahya ini. Mengenai Harun Yahya, kita menerima dan mengakui beliau sebagai tokoh yang berusaha untuk merapatkan jurang antara agama dan sains, malah banyak karya-karya beliau menyemarakkan minat terhadap sains dalam kalangan masyarakat terutamanya masyarakat yang selama ini ignorant dan tak kisah mengenai sains. Namun dalam memahami sains dari konteks kajian secara detail dan bebas, maka kita terpaksa tolak kaedah sebegini. Adakah hanya benda yang sains kata ada, quran kata ada, baru kita kata ada? Adakah kalau sains kata ada, quran kata tak ada, maka kita kata tak ada? Rujuk ulasan [1] saya di atas untuk memahami kaedah apabila berada dalam situasi "sains vs agama".

[7]

Contoh ini menunjukkan, yang Sains itu dinamik. Ianya tidak boleh dicocokkan dengan kalamullah AlQuran yang tetap, tidak berubah, statik. Teori Big Bang, contohnya, sering digunakan untuk mencocokkan sains dan alquran, kononnya Big Bang itu benar kerana ada disebutkan dalam alquran. Tapi tidak mustahil, seratus, dua ratus tahun akan datang, teori Big Bang itu akan runtuh dan digantikan dengan teori lain yang lebih sesuai! Dan bayangkan sekiranya ia berlaku, maka secara automatik alquran itu sendiri akan disputable, maka akan timbullah ruang dan peluang para musuh Islam untuk menyerang alquran dengan mengatakan bahawa alquran sudah tidak sesuai, sudah ketinggalan zaman dan sebagainya. Dan kenapa ia berlaku? Kerana keghairahan nenek moyang abad ke-20 mengikat sains dengan alquran.

[8]

Ini perkara yang selalu sangat saya tekankan dalam penulisan saya. PERKARA GHAIB, KITA RUJUK SUMBER WAHYU. Nak bicarakan kata Jinn dan Syaitan itu UFO? RUJUK WAHYU. Nak bicarakan kata tempat jin itu di lautan bermuda? RUJUK WAHYU. Nak bicarakan kata dajjal itu freemason? RUJUK WAHYU. Jangan memandai-mandai guna akal. Kesedaran beragama, a.k.a "Hidayah", itu kan perkara ghaib milik Allah azzawajalla. Maka saya takkan memandai2 dengan akal fikiran.

Lihat amaran yang prof berikan - "orang yang bermula cakap-cakap begitulah, itulah dia akan mula cipta ajaran sesat". Agama kita adalah special, kerana agama kita bersumberkan wahyu, bukan akal manusia. Agama buddha, lahir dari kefahaman Siddharta Gauthama. Ajaran Kristian, diubahsuai dan ditokok tambah oleh manusia dalam persidangan Nicaea. Agama kita sahaja, Islam, berasal dari alquran dan hadis, dan kita pun mengimani bahawa segala tutur kata dan perbuatan Rasulullah itu dibawah seliaan direct oleh Allah s.w.t.

Atas sebab ini juga saya cukup skeptik dan menentang golongan konspirasi theoris yang cukup gemar mengaitkan agama Islam dengan konspirasi-konspirasi mereka. Nak berkonspirasi mengenai freemason, mengenai illuminati, segala macam lagi, terpulanglah. Tapi tolong JANGAN kaitkan dengan dajjal, imam mahdi, hari kiamat, nabi itu ini, dsb. Mereka ini sebahagian dari ajaran agama ISLAM, dan ISLAM itu agama samawi, bukanya aqli.

[9]

Prof memasuki sedikit bidang falsafah, apabila membicarakan mengenai moral. Bidang ini saya tidak kuasai dengan baik, namun apa yang pasti pendekatan yang diambil oleh Prof adalah pendekatan yang selamat, iaitu memulangkan kepada agama. Benda apa yang kita tak sure, kita rujuk agama. Perkara yang subjektif, seperti conscious, moral, being, dsb dirujuk terus kepada alquran memandangkan dari sudut sains tidak dapat memberikan fakta. Apabila kita mendefinisikan ia mengikut acuan alquran, maka ia akan melahirkan taqwa dan memenuhi ciri-ciri yang kita inginkan tersebut secara tidak langsung.

Saya ambil contoh satu perkara yang subjektif, iaitu KOMUNIKASI, atau khususnya lagi, komunikasi silang jantina. Barat (atau melayu sekalipun) menafsirkan etika komunikasi berlainan jantina mengikut kesesuaian adat dan kebiasaan sendiri. Bila bercakap kena tengok mata, kalau tak dianggap kurang ajar. Bila tangan dihulur kena sambut bersalam, kalau tak dikira kurang ajar. Dada kena tegap, tanda keyakinan diri. Serta pelbagai lagi etika. Namun Islam menggariskan komunikasi silang jantina, dengan dilengkapi panduan dan syarat. So kita ada dua pilihan, nak ikut pandangan Islam atau pandangan diluar Islam, yang mana kedua2nya tidaklah salah (dari sudut akal) kerana ianya subjektif, bidang sains sosial. Namun kedua2nya memberikan natijah yang berbeza. Pandangan diluar Islam, membawa kepada timbulnya gejala2 sosial, pergaulan bebas, seks rambang dan sebagainya. Pandangan Islam, merupakan pandangan pendapat yang mencegah zina dan kemungkaran. Kenapa pandangan Islam betul, kerana Allah sendiri yang sebut "yang demikian itu lebih suci bagi mereka". Allah sendiri tahu.

Sekian, wallahua'lam. Wassalam.

Ya, hampir kesemuanya, perbincangan di atas tidak ada masalahnya pada saya. Apa yang saya faham, segala2 yang ada di langit dan di bumi dan di antaranya, sudah tentu zahir atau batin adalah di bawah kekuasaan Allah. Dahulukan Allah dalam apa juga bidang(cth sains dan teknologi)/perkara/fikiran/tindakan/sangkaan/dll. Puhhhh.... anda akan berparadigma unggul. - sulaimanutem

No comments:

Post a Comment